74 MÜDDESSİR

  • 74:1

    Wahai orang yang berselimut!

  • 74:2

    Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).

  • 74:3

    Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

  • 74:4

    Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

  • 74:5

    Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

  • 74:6

    Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

  • 74:7

    Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

  • 74:8

    Kerana apabila telah ditiup sangkakala,

  • 74:9

    Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar -

  • 74:10

    Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).

  • 74:11

    (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),

  • 74:12

    Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,

  • 74:13

    Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.

  • 74:14

    Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.

  • 74:15

    Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;

  • 74:16

    Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).

  • 74:17

    Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.

  • 74:18

    Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) -

  • 74:19

    Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?

  • 74:20

    Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?

  • 74:21

    Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);

  • 74:22

    Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;

  • 74:23

    Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,

  • 74:24

    Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);

  • 74:25

    "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!"

  • 74:26

    (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.

  • 74:27

    Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?

  • 74:28

    Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)

  • 74:29

    Ia terus-menerus membakar kulit manusia!

  • 74:30

    Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).

  • 74:31

    Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.

  • 74:32

    Sebenarnya! Demi bulan,

  • 74:33

    Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,

  • 74:34

    Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,

  • 74:35

    Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,

  • 74:36

    Yang menjadi amaran bagi umat manusia,

  • 74:37

    (Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).

  • 74:38

    Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,

  • 74:39

    Kecuali puak Kanan,

  • 74:40

    (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,

  • 74:41

    Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,

  • 74:42

    (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"

  • 74:43

    Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

  • 74:44

    "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

  • 74:45

    "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

  • 74:46

    "Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

  • 74:47

    "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini".

  • 74:48

    Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.

  • 74:49

    (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ?

  • 74:50

    Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,

  • 74:51

    Melarikan diri (ketakutan) dari singa!

  • 74:52

    (Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).

  • 74:53

    Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.

  • 74:54

    Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);

  • 74:55

    Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.

  • 74:56

    Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).

Paylaş
Tweet'le